Tuesday, September 8, 2009
HARI INI..AKU YANG PILIH!
“Keluarga aku semuanya kurang ajar belaka, jadi tentulah aku pun kurang ajar.”
“Dah aku dibesarkan di dalam persekitaran samseng, macam mana aku nak jadi baik.”
Segala dialog mirip seperti dialog di atas mungkin boleh didengari terucap keluar daripada mulut atau menjadi bisikan ketika bermonolog dengan diri. Adakalanya bukan sebagai satu pemahaman salah kepada konsep ‘berserah kepada takdir’ tetapi sebagai alasan untuk memujuk diri menerima perbuatan salah yang dilakukan diri sendiri. Menjustifikasikan kesalahan yang dipilih sendiri dengan menuding kepada pengalaman lepas.
MANUSIA, PENGALAMAN DAN MENCIPTA PENGALAMAN
Sekumpulan orang kampung menyatakan pada seorang pengembala muda, “Sekiranya datang serigala, jerit ‘serigala’ dan kami akan datang bersama senapang dan serampang.”
Keesokkan harinya sedang beliau mengembala kambing biri-birinya, tiba-tiba pengembala muda ternampak seekor singa mendekati kambing biri-birinya. Dia pun menjerit, “Singa, singa!” Tetapi tiada seorang yang datang membantu. Beberapa ekor kambing biri-birinya mati dibaham singa. Dengan sedihnya dia pergi berjumpa dengan orang-orang kampung.
“ Mengapa tiada orang datang membantu apabila saya jerit tadi??” Tanya pengembala muda tadi kepada orang-orang kampung.
“Di negeri kita ni mana ada singa,” balas seorang pak cik tua, “Yang kau kena jaga-jaga pada ancaman serigala nak oi.”
Sememangnya manusia hanya memberi respon kepada perkara yang ia bersedia untuk percaya. Apa yang membuatkan mereka bersedia untuk percaya, adalah pengalaman mereka. Seorang yang mempunyai pengalaman mudah memperoleh sahabat berkemungkinan besar akan seronok dikelilingi manusia. Seorang yang mempunyai pengalaman dihargai karya-karya puisinya berkemungkinan besar lebih selesa menukilkan bahasa jiwanya untuk tatapan umum. Begitu juga seorang yang mempunyai pengalaman dizalimi atau didera, kemungkinan besar juga ia memberikan kesan tidak baik kepada kehidupannya.
Kita tidak memilih setiap pengalaman yang dilalui dan sememangnya itulah yang terjadi ketika kita masih kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kebanyakkan pengalaman sesudah kita dewasa dipilih oleh kita. Kita memilih untuk belajar di mana. Kita memilih untuk bekerja di mana. Kita memilih untuk melakukan sukan apa, melakukan di mana. Kita memilih untuk berkawan dan bergaul bersama siapa. Sesiapa yang mempunyai latar belakang yang susah atau tidak molek, memilih sendiri untuk terus hidup dalam suasana negatif atau memilih untuk mencipta pengalaman yang akan memperbaiki kehidupan dan cara berfikir.
Seorang yang ingin memperbaiki diri menjadi lebih baik, mempunyai kuasa membuat pilihan samada untuk bergaul lebih banyak dengan mereka yang akan membantunya memperbaiki diri atau bergaul dengan mereka yang tidak membantu menjadi lebih baik. Seorang yang ingin dirinya menjadi lebih baik mempunyai kuasa memilih untuk melakukan aktiviti yang akan menyumbang kepada pembaikan dirinya ataupun aktiviti yang sebaliknya.
Masa lepas yang membentuk pengalaman-pengalaman adalah sesuatu yang tidak dapat diubah tetapi kita mampu mengawal tindakan kita hari ini yang akan menjadi pengalaman di masa akan datang. Tidak semestinya kerana pengalaman lepas yang negatif, maka sepatutnya kita menjadi seorang yang berkarakter negatif. Teringat saya kepada sebuah rangkap di dalam puisi Zhou Dun Yi:
Namun yang ku kasihi adalah bunga teratai, tumbuh keluar dari selut tetapi tidak dikotori.
Beliau mengkagumi karekter bunga teratai yang sekalipun tumbuh daripada selut yang kotor namun tetap cantik, harum, boleh dihayati dari jauh namun tidak boleh sebarangan disentuh. Sewaktu membaca puisi ini, terharu saya menghayati betapa sesuatu yang indah boleh tumbuh keluar sekalipun daripada persekitaran yang tidak bersih. Kita semua boleh menjadi seperti teratai, berhak memilih untuk menjadi seperti teratai.
kredit:demipena.com
p/s: nak jadi cam teratai gak bole??
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment